Kelab Kebajikan & kerohanian Ranaco (KKKR) telah menganjurkan satu program Usrah - Jati Diri Mukmin. Program tersebut telah dijalankan pada 9 Jun 2014 bertempat di Kelas AA, Ranaco Group. Seramai lebih kurang 80 orang kakitangan Ranaco Group menyertai program tersebut.
Adakah anda bersedia menilai diri sendiri? Apakah kekuatan dan kelemahan peribadi anda? Bagaimanakah hendaklah membentuk jati diri mukmin yang dituntut Allah?
Pertama, cari dan akui kelemahan diri, senaraikannya dengan jujur, terimalah ia sebagai tentangan yang harus dihadapi. Jangan ulangi kesilapan yang lalu. Konsep ini disebut konsep taubat. Tahu kesilapan, mengakuinya dan berjanji tidak akan mengulangi. Sabda Rasulullah SAW : "Orang mukmin tidak akan terjatuh ke dalam satu lubang dua kali". (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Kedua, hidup bersama dengan orang yang berjaya, bandingkan diri sendiri dengan mereka dan tutupi kelemahan dengan kelebihan mereka. Orang yang kurang bijak hendaklah merujuk kepada yang lebih bijak, yang malas bekerja hendaklah mengikut jejak yang rajin, yang lemah semangat mencari kekuatan pada yang berhati waja, yang miskin mengambil iktibar pada si kaya, yang malas beramal duduklah bersama dengan ahli ibadah, yang jahil belajar pada yang alim.
Konsep ini dikenali sebagai konsep Ta'awun iaitu bekerjasama dengan tulus ikhlas untuk sama-sama menjadi hamba Allah yang terbaik. Ia boleh menjadi sumber kekuatan jati diri setiap mukmin. Firman Allah SWT : "Bertolong-tolonganlah kamu dalam kebaikan dan takwa jangan bertolong-tolongan dalam kejahatan dan permusuhan." (Surah Al-Maidah : Ayat 2)
Ketiga, jangan berhenti mengukur prestasi diri. Setiap hari penilaian jati diri kita hendaklah berjalan dengan telus dan jujur. Kenalpasti kelemahan dan bagaimana hendak meningkatkan kekuatan yang ada. Sembahyang wajib boleh ditambah dengan yang sunat dan lebih khusyuk dari kelmarin. Nafsu amarah diubat dengan berpuasa dan sedekah. Konsep ini dikenali sebagai konsep Muhasabah (Akauntabiliti diri).
Peningkatan kualiti kerja yang seiring dengan kualiti iman akan melahirkan pekerja yang mahir dan amanah, dedikasi dan profesional, serta kuat beribadah. Ukuran penilaian kita hendaklah mengikut neraca Allah Yang Maha Menghisab. Jangan melakukan sesuatu kecuali kita telah memastikan perbuatan itu menghasilkan kebaikan dan pahala serta keredhaan Allah. Kerana dunia ini tempat bercucuk tanam dan akhirat nanti jerih payah kita akan berbuah. Firman Allah SWT : "Dan adapun orang yang berat timbangan kebaikannya, maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan. Dan adapun orang yang ringan timbangan kebaikannya, maka tempat kembalinya adalah neraka hawiyah." (Surah Al-Qariah : Ayat 6-9)